Salam Gema Di Utara

Wali Hakim Vs Wali Tahkim Perkahwinan Selatan Thai... Edisi Siasat

>> Saturday, March 6, 2010


Gambar Majlis Agama Islam Songkhla

Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke 24
Tarikh Keputusan : 5 Jun 1989
Tarikh Muzakarah : 5 Jun 1989 hingga 6 Jun 1989
Pernikahan Menggunakan Wali Hakim (wali Raja) Dan Wali Tahkim

a) Pernikahan wanita-wanita tidak mempunyai wali nasab di negeri
Sabah yang dilakukan oleh jurunikah atau kadi yang dilantik oleh
Tuan Yang Terutama adalah dikira pernikahan secara Wali Hakim
dan pernikahan itu adalah sah di sisi syarak.

b) Mufti Negeri Sabah hendaklah membuat kenyataan umum di negeri
itu mengenai keputusan seperti di perenggan di atas.

c) Pernikahan pelajar atau rakyat Malaysia di luar negeri secara
Wali Tahkim atau tidak mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan oleh kerajaan Malaysia adalah dilarang.

Menurut Hukum Syarak untuk menjadikan sesuatu perkahwinan itu sah hendaklah memenuhi rukun nikah. Di dalam Kitab Bujairimi ‘ala al-Khatib jilid 3, muka surat 326 hingga 327 menyebut:-

“Fasal pada membicarakan rukun-rukun nikah dan adapun rukun-rukun nikah itu lima perkara iaitu sighah, pengantin perempuan , pengantin lelaki, wali. Pengantin lelaki dan wali adalah pihak-pihak yang melaksanakan akad nikah perkahwinan melalui sighah iaitu lafaz ijab dan lafaz qabul. Yang kelima ialah dua orang saksi.”

Berkenaan rukun pertama iaitu sighah, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazahib Imam as-Syafie, halaman 51 telah menyebutkan bahawa kesempurnaan sighah mestilah memenuhi syarat-syarat sighah tersebut. Antaranya ialah sighah menggunakan lafaz tazwij atau inkah. Disamping itu lafaz ijab dan qabul hendaklah jelas dan kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan serta saksi-saksi hendaklah memahami lafaz ijab dan qabul yang disebutkan.

Menurut hukum syarak, perempuan-perempuan yang haram di kahwini kerana hubungan nasab ataupun keturunan yang terdiri daripada ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak perempuan dari saudara lelaki, anak perempuan dari saudara perempuan. Ini berdasarkan daripada firman Allah s.w.t. di dalam surah an Nisa ayat 23, yang bermaksud:

“Diharamkan kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut) iaitu. Ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan….’’

Manakala perempuan yang haram dikahwini kerana hubungan susuan pula iaitu ibu susu dan saudara perempuan susuan sebagaimana yang difirmankan di dalam ayat 23 surah an-Nisa iaitu sambungan ayat tadi yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu, ibu-ibu kamu yang telah menyusu kamu dan saudara-saudara susuan kamu”.
Dan perempuan-perempuan yang haram dikahwini kerana musoharah atau hubungan persemendaan ialah ibu mertua, anak tiri, ibu tiri , menantu dan menghimpun dua orang perempuan bersaudara iaitu sebagaimana yang difirmankan Allah s.wt di dalam surah An-Nisa ayat 23 iaitu sambungan daripada ayat tadi yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu dari isteri-isteri yang telah kamu campuri(tetapi kalu kamu belum campuri (isteri kamu) itu (dan kamu telah menceraikan mereka, maka tiadalah salah bagi kamu berkahwin dengan bekas anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali untuk menjadikan isteri-isteri kamu kecuali yang telah berlaku pada masa lal, sesungguhnya Allah adalah amat pengampun dan lagi amat mengasihani.”

Perkara-perkara yang dimaksudkan di dalam al-Quran ini telah dikanunkan di dalam undang-undang sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 9 Undang-Undang Keluarga Islam Pulau Pinang 2004.

Wali berdasarkan Hukum Syarak bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Dalil-dalil yang menunjukkan mengenai amat mustahaknya wali iaitu:

Dari hadith Nabi s.a.w dari Abi Musa r.a. Rasulullah s.a.w bersabda:

" لا نكاح إلا بولى ....."
Yang bermaksud :

“Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”.
(Riwayat al-Khamsah dan an-Nasai’)

Mengenai perkara ini di dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khatib juzuk ketiga halaman 342 ada menyebut yang bererti:

“Sekiranya ketiadaan orang yang memerdekakan dan ketiadaan asobahnya hakim boleh mengahwinkan seseorang perempuan itu di dalam wilayah kekuasaannya berdasarkan kepada hadis yang bermaksud, “Sultan menjadi wali kepada perempuan yang tidak mempunyai wali”. Sekiranya tidak di dalam wilayahnya seseorang hakim itu tidak boleh mengahwinkan perempuan berkenaan.”

Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj juzuk 3, muka surat 157 pula ada disebut:-

“Andainya wali yang akrab ghaib, samada wali itu daripada nasab ataupun yang memerdekakan melebihi dua marhalah dan tidak ada wakilnya hadir di dalam majlis akadnikah itu atau jarakjauh yang mengharuskan qasar sembahyang, maka perempuan itu hendaklah dikahwinkan oleh sultan iaitu sultan di negeri dia berada atau naib sultan tersebut, bukan sultan negeri lain daripada negeri dia berada itu dan tidak boleh diakadkan nikah oleh wali yang lebih jauh mengikut pendapat yang asoh.”

Di dalam persoalan ini ada dua perkara, pertama wali am atau wali hakim itu mestilah ada kuasa di dalam Wilayah di mana akadnikah itu dijalankan dan keduanya jarak di antara tempat akad nikah dijalankan itu dari tempat wali nasab berada hendaklah tidak kurang dari 2 marhalah iaitu kira-kira 96 kilometer.

Di dalam persoalan ini dalam kitab I’anah al-Talibin juzuk 3 muka surat 314 ada disebut matan Fathul Mu’in yang bererti:

“Kemudian setelah tidak ada asobah dari nasab dan walaa’, maka yang memegang kewalian adalah qhadi atau naib qhadi sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sultan adalah menjadi wali bagi wanita yang tidak mempunyai wali,” dan yang dimaksudkan sultan disini ialah mereka yang memegang kekuasaan kewalian baik imam atau khadi mahupun naib-naib mereka.”

Seterusnya berkenaan rukun kelima iaitu mengenai saksi-saksi dalam pernikahan. Saksi memainkan peranan yang penting yang mana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Kewujudannya menjadikan akad nikah tersebut sah di sisi Hukum Syarak.

Jumhur Ulama sepakat menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan tidak akan sah melainkan dengan penyaksian. Jelasnya saksi-saksi perlulah hadir sewaktu akad pernikahan agar pernikahan itu sah. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Aishah yang berbunyi:-

لا نكاح الا بولى و شاهدى عدل"”
Yang bermaksud :

‘ Tidak sah pernikahan kecuali dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil’

Juga hadis yang diriwayatkan daripada Daruqutni daripada Aishah yang berbunyi :-

(لا بد فى النكاح من اربعة : الولى، والزوج، والشاهدين )

Yang bermaksud :
“Dalam sesuatu pernikahan mestilah ada empat perkara : wali, suami, dan dua orang saksi”

Mahkamah Syariah di Malaysia kini menerima banyak permohonan perkahwinan dari luar negara terutamanya dari selatan Thailand. Apabila permohonan dibuat mahkamah perlu menyiasat dan meneliti dokumen pernikahan sama ada menepati hukum syarak atau tidak. Kebanyakan perkahwinan di luar negara menggunakan Wali Hakim.

Fatwa Kebangsaan mengatakan
Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52
Tarikh Keputusan : 1 Julai 2002
Tarikh Muzakarah : 1 Julai 2002 hingga 1 Julai 2002
Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-syafie
Perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang
diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Fatwa di atas jelas apabila perkahwinan melebihi dua marhalah bersamaa 92 Kilometer adalah sah menggunakan wali hakim.

Apa yang dibimbangi penggunaan Wali Tahkim. Wali Tahkim ialah seseorang yang bukan dilantik menjadi Naib Khadi tetapi menggunakan nama Naib Khadi untuk mengakad nikah. Perkahwinan itu adalah tidak sah mengikut Fatwa kebangsaan. Justeru bagi meyakinkan penulis, Penulis sendiri sekali lagi menjalankan siasatan kes ke Majlis Agama Islam Songkhla dan Konsul Malaysia Di Songkhla serta sempat berbual dengan Puan Rosmina Jemadi salah seorang pegawai yang berkhidmat di Konsul Malaysia Songkhla.

Perjalanan dari sempadan Bukit Kayu Hitam selama 1 jam 30 minit sejauh 65 Kilo meter. Semasa penulis sampai ke bangunan Majlis Agama Islam Songkla yang dinyatakan bernilai RM 20 juta kos pembinaannya, kebetulan Mesyuarat naib Khadi seluruh Songkhla di adakan, dan penulis sempat bergambar dengan beberapa Naib Khadi. Penulis juga telah berjumpa dengan 3 orang Timbalan yang diPertua Majlid Agama Islam Songkhla iaitu Tuan Haji Zakaria Salleh, Tuan Haji Abdul Wahab Senwang dan juga Tuan Haji Hemman. Penulis Juga sempat bergambar dengan Setiausaha Majlis Agama Islam Songkhla Tuan Haji Abdul Rahman Kayem dan juga naib Khadi Hj Syafie Kayem dan Haji Abdul Halim Lateh.


Tuan Haji Zakaria Bin Saleh, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Songkhla

Semasa siasatan Pihak Majlis Agama Islam Songkhla terutamanya Tuan Haji Zakaria Saleh mengakui terdapat banyak surat nikah menggunakan namanya sedangkan beliau tidak mengakad nikah tersebut. Inilah yang dikatakan Wali Tahkim. yang hanya menggunakan nama Naib Khadi tetapi orang yang mengakad nikah tersbut tidak dilantik menjadi Khadi. Dimaklumkan Pihak Majlis Agama Islam telah mengeluarkan Amaran kepada pihak-pihak yang terlibat tidak lagi menggunakan nama-nama naib khadi yang bertauliah tanpa merujuk kepada mereka sendiri.

Semasa siasatan juga dinyatakan proses akad nikah hanya berlangsung sekitar 30 minit, kemudian pasangan disertakan satu surat pengesahan nikah untuk dirujuk kepada Konsul Malaysia disongkhla. Perjalanan dari Majlis Agama Islam Songkhla ke Konsul Malaysia mengambil masa 15 ke 20 minit.


Penulis Bergambar bersama Tuan Haji Abdul Rahman Kayem, Setiausaha Majlis Agama Islam Songkla


Penulis bergambar bersama Tuan Haji Abdul Halim Lateh,Naib Khadi Syarie Songkhla

Di Konsul saya telah meminta kebenaran untuk berjumpa dengan Pegawai dari malaysia memandangkan semua kerani dan staff bawahan adalah rakyat Thailand. Saya telah bertemu dengan Puan Rusmina Jemadi. Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana banyak surat yang dikeluarkan adalah menggunakan Wali Tahkim. atas inisiatif beliau dan warga Konsul, Pihak Konsul telah mengeluarkan arahan supaya Pasangan nikah tersebut hadir sendiri untuk disiasat sebelum diberi surat pengesahan dari Konsul dan diberi resit. dimaklumkan juga sehari pejabat konsul mengeluarkan surat sehingga 20 ke 30 surat pengesahan.

Alhamdulilah, jauh perjalanan bertambah pengalaman. penyiasatan ini memudahkan penulis dan juga dapat membantu mahkamah bagi mengesahkan nikah sama ada sah atau tidak. Insyallah Siasatan juga akan diteruskan oleh Penulis ke Majlis Agama Islam Pattani, Narathiwat, Yala, Satun dan insyaallah ke Indonesia.... Jalan-jalan cari Iman...

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP